MUKAH: Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil bagi memperingati setahun pemergian Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah berlangsung lancar di Masjid Setia Raja Mukah pada Ahad.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib bersama suami Datuk Syed Ahmad Alwee Asree, serta anak mereka Syed Zarif Mansoor.
Selain bacaan Yassin dan Tahlil, satu sesi solat hajat turut diadakan untuk mendoakan agar keadaan banjir di Mukah yang semakin pulih dapat kembali normal sepenuhnya.
Ketika ditemui, Dato Hanifah menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas sokongan dan kehadiran masyarakat setempat.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Pusat Khidmat Masyarakat Mukah, Pejabat Residen Bahagian Mukah, serta Jawatankuasa Masjid Setia Raja Mukah atas kerjasama mereka dalam menjayakan majlis ini.
Majlis ini bukan sahaja menjadi kesempatan untuk mengenang jasa Allahyarham, tetapi juga mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat melalui pengisian rohani yang bermanfaat.
Lebih 1,000 penduduk sekitar Mukah hadir bagi menyerikan lagi majlis tersebut. - EDISI UKAS