AZAM Sedia Bantu UKAS Anjur SMEC 2024

Disiarkan pada 05 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Angkatan Zaman Mangsang (AZAM) Sarawak sedia menggalas tanggungjawab untuk membantu Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menganjurkan Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 yang berlangsung pada 25 hingga 27 Mei kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili berkata, mereka telah diberikan tanggungjawab untuk mengurus persidangan yang akan dikelolakan oleh UKAS dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dengan tujuh speaker melibatkan peserta luar negeri dan negara.

“Sebagai pasukan yang menguruskan SMeC, kami teruja untuk menerima lebih daripada 600 peserta daripada Sarawak, Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah, Brunei, Indonesia dan Singapura yang akan datang ke sini,” ujarnya demikian ketika ditemui pemberita ketika Greater AZAM Raya Gathering 2024 di Dewan Seri Mahligai pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai SMEC 2024, Ali Suhaili menambah, persidangan ini adalah secara serantau di mana menjadi platform membincangkan bagaimana media di Sarawak berkembang dari masa ke masa.

Jelasnya, media kini telah pun berkembang seiring dengan perkembagan teknologi terkini dan trend media sosial.

“Kita tidak boleh bergantung kepada media tradisional kerana dengan kehadiran teknologi-teknologi terkini mengubah perspektif penggunaan media oleh semua pihak sama ada pihak media atau pengguna media yang kini bergantung dengan teknologi terbaharu,” jelasnya.

Tambahnya, kehadiran teknologi terkini telah banyak membantu pihak media dari segi melaporkan berita dan juga membantu orang ramai untuk menerima laporan yang dibuat. -EDISI UKAS