Persidangan DUN Sarawak Ke-19: Lima RUU Dibentang

Disiarkan pada 04 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 yang berlangsung bermula 6 hingga 15 Mei depan akan menyaksikan lima Rang Undang-Undang (RUU) dibentangkan.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, sesi soal jawab akan diadakan selama empat hari bermula pada 7 hingga 10 Mei 2024.

Manakala katanya, pembentangan RUU oleh Menteri bertanggungjawab akan dilakukan pada 7 Mei selepas sesi soal jawab.

“RUU yang akan diketengahkan adalah lima RUU dibentangkan iaitu pertama, Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024; Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2024; Rang Undang-undang Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024; Rang Undang-undang Perlindungan Kesihatan Awam (Pindaan) 2024; dan Rang Undang-undang Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan) 2024.

“Hanya RUU Lembaga Pelabuhan Sarawak merupakan RUU yang baharu, manakala RUU Perlindungan Kesihatan Awam dan RUU Perbadanan Perhutanan Sarawak hanyalah pindaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini pada Sabtu.
Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia menambah, RUU Sarawak Ports Authority Bill 2024 akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Sebelum itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah mempengerusikan Mesyuarat Pra Persidangan DUN Sarawak ke-19 di bangunan sama.

Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia memaklumkan, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan menyempurnakan Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN Sarawak ke-19 pada Isnin.

Katanya, terdapat 352 soalan yang merangkumi 267 jawapan lisan dan 85 jawapan bertulis diterima daripada 43 Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.

Persidangan kali ini bakal menyaksikan satu usul penghargaan kepada mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang dibahas pada 8 Mei 2024.

Turut hadir Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato' Idris Buang dan Setiausaha DUN Sarawak, Nur Azhar Bujang. -EDISI UKAS