Jalan Baru Kampung Tema-Kampung Mawang Tahup Mudahkan Kehidupan Penduduk

Disiarkan pada 09 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


TEBEDU: Penduduk Kampung Tema dan Kampung Mawang Tahup kini boleh menarik nafas lega dengan siapnya jalan baharu yang menghubungkan kedua-dua kampung, sekali gus memudahkan kehidupan seharian mereka.

Jalan yang baru dibina ini bukan sahaja mempercepat perjalanan harian penduduk tetapi juga memberi manfaat besar kepada sektor pertanian tempatan dengan memudahkan pergerakan hasil tani ke pasaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada, berkata pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya dan jambatan adalah keutamaan dalam usaha memperkukuh ekonomi luar bandar serta meningkatkan taraf hidup masyarakat.

“Dengan adanya jalan yang lebih baik, penduduk tidak lagi menghadapi kesukaran untuk keluar masuk ke kampung, terutama petani yang sebelum ini berdepan cabaran dalam mengangkut hasil pertanian mereka,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Projek Naik Rumah Panjang dan Penyerahan Sijil Pertubuhan Unit SABERKAS Kampung Tema Penggal.

Selain manfaat ekonomi, jalan baharu ini turut meningkatkan akses kepada perkhidmatan penting seperti pendidikan dan kesihatan. Penduduk kini boleh bergerak dengan lebih selesa dan selamat ke bandar terdekat tanpa perlu meredah jalan berlumpur atau berbatu seperti sebelum ini.

Seiring dengan pembangunan ini, Dr. Simon turut mengumumkan peruntukan RM50,000 untuk pembinaan stor baru dan RM5,000 bagi aktiviti Unit SABERKAS Kampung Tema Penggal bagi tahun 2025, sebagai sokongan terhadap pembangunan komuniti.

Penduduk menyambut baik usaha ini, dengan ramai menyifatkan projek jalan baharu sebagai satu perubahan besar yang membawa kemudahan serta meningkatkan kesejahteraan mereka.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah wakil Residen Bahagian Serian Easter Najoh, wakil Pegawai Daerah Tebedu Mohd Faiz Rusdi, wakil Pegawai Bahagian Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Serian Emylia serta tetamu jemputan lain. – EDISI UKAS