HAWANA 2024: Anugerah Khas Apresiasi Premier Sarawak & Anugerah Tokoh HAWANA Jadi Tumpuan

Disiarkan pada 04 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Anugerah Khas Apresiasi Premier Sarawak dan Anugerah Tokoh HAWANA 2024 akan menjadi tumpuan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024. 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, Anugerah Khas Apresiasi Premier Sarawak itu akan dianugerahkan kepada lima pengamal media di negeri ini sebagai penghargaan kepada mereka.

"Anugerah Tokoh HAWANA 2024 pula akan dianugerahkan kepada seseorang individu atau organisasi yang akan diputuskan tidak lama lagi oleh pihak sekretariat," katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 dan HAWANA 2024 di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Sementara itu, beliau memberitahu, persiapan akhir giat dilakukan bagi memastikan kedua-dua program itu akan menjadi antara yang terbaik dianjurkan di Bumi Kenyalang.

Katanya, HAWANA 2024 di Sarawak akan menampilkan kelainan berbanding penganjuran HAWANA sebelum-sebelum ini kerana SMEC 2024 turut diadakan membabitkan penceramah luar negara dan tempatan yang terkenal.

"Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi juga akan menjadi tetamu kehormat semasa jamuan malam sempena SMEC 2024 pada 26 Mei ini," ujarnya.

Menerusi tema 'Evolusi Media dalam Era Digital', SMEC 2024 dijangka menarik seramai 600 peserta akan menghadiri persidangan dua hari itu yang bermula 26 Mei ini.

Upacara kemuncak SMEC 2024 dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Sementara itu, HAWANA 2024 yang bertemakan 'Etika Teras Kewartawanan Mapan' juga akan dihadiri oleh para pengamal media dari seluruh negara dan daripada persatuan wartawan tempatan serta wakil media dari negara anggota ASEAN.

Majlis kemuncak HAWANA 2024 pula akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei depan.

Pameran HAWANA 2024 yang melibatkan 20 buah reruai turut akan berlangsung pada 25 Mei 2024 di Merdeka Plaza.-EDISI UKAS