Program Salam Desa KEMAS Perkukuh Hubungan Pemimpin Dengan Masyarakat Luar Bandar

Disiarkan pada 08 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Program Salam Desa KEMAS Sarawak 2025 bukan sekadar platform turun padang, tetapi satu inisiatif menyeluruh dalam memperkukuh hubungan pemimpin dengan masyarakat luar bandar serta memacu pembangunan desa secara holistik.

Program ini turut menjadi platform pelancaran Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) 2025, inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan pemimpin lebih cakna terhadap keperluan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, Salam Desa bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami perancangan pembangunan kampung mereka tetapi juga membuka lebih banyak ruang dalam aspek ekonomi dan sosial.

Beliau menegaskan bahawa walaupun cabaran infrastruktur dan kemudahan masih wujud, kerajaan terus komited dalam memperkukuh usaha pembangunan luar bandar demi kesejahteraan rakyat.

Selain sesi dialog bersama penduduk, program ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti Senam Sihat, Sukan Rakyat, Taklimat Scammer Alert oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Taklimat Pendidikan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan GIATMARA.

Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan asas pada harga lebih rendah turut menarik perhatian pengunjung sebagai langkah membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

Pemerkasaan belia juga menjadi antara fokus utama menerusi Program Santuni MADANI*, yang menampilkan pelbagai inisiatif latihan dan peningkatan kemahiran teknikal serta insaniah bagi memastikan generasi muda luar bandar lebih berdaya saing dalam pasaran kerja.

Dalam majlis yang sama, Datuk Rubiah turut menyampaikan beberapa bantuan kepada penduduk, termasuk Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA berupa wang tunai RM100 dan beg sekolah kepada 80 pelajar di Kampung Endap.

Selain itu, Skim Pembiayaan Ekspres (SPiKE) MARA berjumlah RM65,000 disalurkan kepada Nur Iqra Enterprise bagi menaiktaraf pagar Sekolah Awam, Serian, manakala RM210,000 diberikan kepada Bahau Enterprise bagi projek pembinaan jalan di Kampung Reteh Plaman, Serian.

Bantuan Tuisyen Rakyat RISDA sebanyak RM12,500 turut diagihkan untuk program tuisyen 10 bulan kepada 12 pelajar SMK Siburan bersama lima guru, di samping peruntukan RM5,000 bagi program motivasi pelajar.

Datuk Rubiah berharap masyarakat luar bandar, khususnya golongan belia, dapat memberikan komitmen penuh dalam menjayakan usaha pembangunan desa ini. Beliau turut mengalu-alukan cadangan daripada masyarakat bagi meningkatkan kesejahteraan luar bandar sambil menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan luar bandar demi kemajuan negara.

Turut hadir dalam program ini ialah wakil Ketua Setiausaha KKDW Datuk Roslan Mahmood, Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, Pengarah KEMAS Sarawak Anisah Saidin, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang dan Penghulu Kampung Endap Awang Mohamad Awang Suntong. -EDISI UKAS