BELURU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil turun padang meninjau situasi banjir yang melanda kawasan Marudi, khususnya di Daerah Beluru, pada Sabtu.
Dalam tinjauan tersebut, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 49 rumah panjang dan perkampungan terjejas akibat banjir kali ini, namun keadaan masih terkawal berbanding kawasan lain yang lebih teruk terkesan.
“Kita telah membuka dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), iaitu di Dewan Masyarakat Beluru yang menempatkan 44 keluarga dan di SMK Bakong yang menempatkan 21 keluarga,” katanya kepada pemberita ketika meninjau PPS Dewan Masyarakat Beluru.
Beliau turut menjelaskan bahawa mangsa banjir yang ditempatkan di PPS terdiri daripada penduduk Kawasan Setinggan Beluru, Kampung Melayu Beluru, Rumah Dasu Sungai Tisam Bukit Nyaming, Rumah Gerang, dan Rumah William Saba Sungai Beluru, Bakong.
Sementara itu, lebih 30 buah kampung, sekolah, dan klinik turut terjejas akibat banjir, namun setakat ini, tiada PPS tambahan dibuka.
Dalam usaha membantu mangsa banjir, Datuk Dr Penguang Manggil turut menyampaikan kit makanan kepada mereka yang berlindung di PPS. Selain itu, beliau sempat meninjau misi penghantaran bekalan makanan ke kawasan Tinjar menggunakan bot ekspres serta melawat Kampung Melayu Beluru, Bakong, bagi menilai keadaan semasa banjir di kawasan tersebut.
Usaha proaktif ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat, terutama mereka yang terjejas akibat bencana alam. —EDISI UKAS