Datuk Abdullah Saidol Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk SMEC 2024 & HAWANA 2024

Disiarkan pada 04 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) Datuk Abdullah Saidol telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 dan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Sabtu.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Pengarah UKAS, Samuel Simon serta barisan ahli-ahli jawatankuasa kerja bagi kedua-dua program berkenaan.

Turut hadir mesyuarat menerusi aplikasi zoom ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Mesyuarat selama 2 jam setengah itu telah membincangkan pelbagai persiapan yang telah dilakukan bagi memastikan kelancaran SMEC 2024 dan HAWANA 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 27 Mei depan di Sarawak.

Menerusi tema 'Evolusi Media dalam Era Digital', SMEC 2024 dijangka menarik seramai 600 peserta akan menghadiri persidangan dua hari itu yang bermula 26 Mei ini yang membabitkan penceramah luar negara dan tempatan yang terkenal.

Upacara kemuncak SMEC 2024 dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi pula akan menjadi tetamu kehormat semasa jamuan malam sempena SMEC 2024 pada 26 Mei 2024.

Sementara itu, HAWANA 2024 yang bertemakan 'Etika Teras Kewartawanan Mapan' juga akan dihadiri oleh para pengamal media dari seluruh negara dan daripada persatuan wartawan tempatan serta wakil media dari negara anggota ASEAN.

Majlis kemuncak HAWANA 2024 pula akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei depan.

Pameran HAWANA 2024 turut akan berlangsung pada 25 Mei 2024 di Merdeka Plaza.

Antara kenamaan lain yang dijangka hadir ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta barisan Menteri Kabinet Persekutuan dan Menteri Kabinet Sarawak, ketua-ketua jabatan dan jemputan lain. -EDISI UKAS