Perarakan Jontoi Meriah di Engkilili

Disiarkan pada 07 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


ENGKILILI: Perarakan Jontoi, acara tradisi masyarakat Tionghoa, berlangsung dengan penuh warna-warni di Pekan Engkilili sebagai penutup rasmi Perayaan Tahun Baru Cina 2025.

Lebih 50 kumpulan dari Kuching hingga ke Sibu mengambil bahagian dalam perarakan yang menarik perhatian ribuan pengunjung.

Suasana meriah terasa di sepanjang laluan perarakan, dengan peserta mengenakan pakaian tradisional yang penuh warna, diiringi paluan gendang dan tarian naga serta singa yang mencuri tumpuan.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi yang diberi penghormatan merasmikan acara ini, menyifatkan Perarakan Jontoi sebagai satu warisan budaya yang bukan sahaja memperkukuh identiti masyarakat Tionghua, tetapi juga mengeratkan lagi perpaduan antara kaum di Sarawak.

Selain perarakan, kemeriahan turut diserikan dengan pertunjukan bunga api yang menerangi langit malam, serta persembahan karaoke oleh artis Tionghua yang menghiburkan para pengunjung.

Sebagai tanda penghargaan terhadap masyarakat Tionghua di Engkilili dan Lubok Antu, Roy turut menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM65,000 kepada empat persatuan kaum Tionghoa, termasuk Persatuan Teochew Engkilili, Persatuan Hakka Engkilili, Engkilili Chinese Temple Charitable Trust Board, dan Lubok Antu Chinese Temple Charitable Trust Board.

Turut hadir dalam acara tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Kua Jack Seng, Pengerusi Tokong Tua Pek Kong Kua Siok Yong, Kapitan Mary Sim, serta ahli jawatankuasa Tokong Tua Pek Kong Engkilili.

Perarakan Jontoi tahun ini sekali lagi membuktikan keunikan warisan budaya masyarakat Tionghua yang terus menjadi lambang kebersamaan dan keharmonian di Sarawak. -EDISI UKAS