Program Rindok Raya Aidilfitri Perkukuh Hubungan Silaturahim

Disiarkan pada 04 May 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Program Rindok Raya Aidilfitri Kampung Hulu Serian mampu memperkukuhkan hubungan silaturahim masyarakat setempat.

Ahli Parlimen Serian, Dato' Sri Richard Riot Jaem berkata, penganjuran majlis seperti ini hubungan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), biro wanita, persatuan, penduduk kampung, belia beliawanis dapat diperkukuhkan lagi dengan wujudnya budaya saling bekerjasama, bersatu hati dan kesepakatan antara satu sama lain dalam menjayakan sesuatu program.

“Begitulah juga dalam konteks pembangunan negeri, sebagai rakyat kita seharusnya terus menyokong dan mendukung usaha-usaha kerajaan dalam memastikan projek-projek pembangunan dapat dilaksana dengan cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

“Justeru itu, kestabilan politik penting dalam pembangunan sesebuah negeri.

“Rakyat harus bersepakat dan bersatu hati dalam menyokong hasrat dan pembangunan yang dibawa oleh pucuk pimpinan negeri Sarawak iaitu Gabungan Pati Sarawak (GPS),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Rindok Raya Aidilfitri Kampung Hulu Serian di Dewan Serbaguna Kampung Hulu di sini pada Jumaat.

Dalm program sama, Dato' Sri Richard turut menyampaikan hadiah Pertandingan Pakaian Beragam Kanak-Kanak, Pertandingan Menganyam Ketupat, Pertandingan Bedil dan Lampu Bein, Pertandingan Memasang Sampin dan Hadiah Cabutan Bertuah.

Rindok Raya Aidilfitri anjuran JKKK Kampung Hulu bersama Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Hulu , Biro Belia dan Rekreasi dan RELA telah dihadiri oleh penduduk kampung, tetamu jemputan dan ketua-ketua kampung yang berdekatan.

Dalam perkembangan lain, Dato' Sri Richard memberitahu, terdapat dua projek yang bakal dilaksanakan di bawah penyelarasan Pusat Khidmat P199 Serian iaitu Projek Bina Baru Surau Darul Taqwa dan Projek Pemulihan Hakisan Tebingan Sungai.

Difahamkan, kedua-dua projek ini telah mendapat kelulusan dan kini dalam proses penyediaan peringkat akhir dari agensi pelaksana. -EDISI UKAS