Garis Panduan Terbaru JAKIM Tidak Relevan Untuk Sarawak

Disiarkan pada 08 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai penglibatan umat Islam dalam sambutan perayaan bukan Islam, baru-baru ini dianggap tidak relevan untuk Sarawak yang sentiasa mengutamakan perpaduan antara pelbagai agama dan bangsa.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, masyarakat di wilayah ini telah lama mengamalkan kehidupan bersama yang penuh dengan toleransi dan saling menghormati, tanpa sebarang isu berhubung perayaan agama-agama lain.

Justeru tegasnya, tiada keperluan untuk menguatkuasakan garis panduan yang terlalu ketat sehingga boleh mengekang kebebasan dan keharmonian masyarakat.

"Di Sarawak, kita bebas mengunjungi rakan-rakan berbangsa Cina semasa Tahun Baharu Cina, menyambut Krismas bersama rakan Kristian, atau berkunjung ke rumah rakan-rakan Dayak pada Hari Gawai. Tiada masalah mengenai perkara ini. Apa yang penting adalah nawaitu dan niat kita.

"Saya amat gembira kerana Kabinet Persekutuan, khususnya Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah memutuskan untuk mengetepikan garis panduan ini, kerana ia tidak menimbulkan sebarang masalah mahupun isu,"katanya ketika menyuarakan pandangan mengenai perkara berkenaan kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis makan malam, di sini pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Dato Sri Abdul Karim turut menyatakan keyakinannya bahawa umat Islam di Malaysia, khususnya di Sarawak, mempunyai kebijaksanaan dan kemampuan untuk membuat keputusan yang baik tanpa perlu bergantung kepada garis panduan untuk melakukan apa yang boleh atau tidak boleh.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak JAKIM menilai semula perkara ini dan mempertimbangkan keperluan untuk mengamalkan pendekatan yang lebih terbuka, selaras dengan keharmonian dan kebebasan yang sudah lama diamalkan di Bumi Kenyalang.

Sebelum ini, JAKIM telah mengeluarkan garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.

Garis panduan tersebut akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadual berlangsung pada 25 hingga 27 Februari ini.

Ia mencakupi hal menyentuh ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah, persembahan atau ucapan yang menghina dan mempersendakan pegangan agama Islam, pelaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah, lokasi majlis berhampiran dengan masjid, surau, tanah perkuburan Islam, tanah wakaf atau premis yang tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.

Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.-EDISI UKAS