Sarawak Bersedia Cipta Sejarah Baharu, Pengambilalihan Maswings Dijadual 12 Februari Ini

Posted on 08 Feb 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak bersedia untuk mencipta sejarah baharu dalam dunia penerbangan melalui pengambilalihan syarikat penerbangan milik Malaysia Aviation Group (MAG), Maswings, yang dijadualkan pada 12 Februari ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengambilalihan ini adalah pencapaian besar yang akan mengukuhkan sektor penerbangan Sarawak, sekali gus memperluas rangkaian hubungan ke destinasi domestik dan antarabangsa.

Menurutnya, setelah perjanjian jual beli (SPA) ditandatangani, perincian lanjut mengenai perubahan yang dirancang akan diumumkan secara berperingkat.

"Untuk membangunkan sebuah syarikat penerbangan, sememangnya memerlukan masa dan perancangan yang teliti dan ia bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam masa yang singkat.

"Setakat ini, Maswings hanya mempunyai beberapa pesawat, namun, selepas pengambilalihan ini, kita menjangkakan perubahan besar, termasuk kemungkinan penjenamaan semula syarikat.

"Semua ini akan ditentukan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual media selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam Bersama Museum Cycling Community sempena Borneo Cross Border Cycling Tour 2025 di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Jumaat.

Pada 13 Januari lalu, Premier Sarawak memaklumkan bahawa rundingan pengambilalihan Maswings telah dimuktamadkan dan majlis menandatangani SPA antara Kerajaan Sarawak dan MAG dijangka berlangsung bulan ini, di sini.-EDISI UKAS