Residen Bahagian Kapit Hadiri 2 Majlis Ramah Tamah Aidilfitri

Disiarkan pada 04 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KAPIT: Residen Bahagian Kapit Galong Luang telah berkesempatan menghadiri dua Majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang dianjurkan oleh Bank Rakyat Cawangan Kapit dan Jabatan Agama Islam Bahagian Kapit pada Khamis.

Beliau terlebih dahulu telah menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bank Rakyat Cawangan Kapit yang diadakan di perkarangan pejabat Bank Rakyat.

Majlis ini meriah dengan kunjungan lebih daripada 300 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam kerajaan dan swasta, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), masyarakat setempat dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang hadir sama.

Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kapit Zulhiszam Ahmad ketika ditemui berasa amat terharu dan berterima kasih dengan kehadiran yang amat menggalakkan dan berharap majlis tersebut terus menjadi platform mengeratkan ukhwah antara Bank Rakyat Cawangan Kapit dengan masyarakat setempat dari pelbagai golongan, baik penjawat awam, NGO, KKKM, golongan peniaga serta orang awam.

Usai majlis tersebut, Residen Bahagian Kapit terus bergerak ke Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Anjuran JAIS Bahagian Kapit 2024 yang diadakan di Pejabat JAIS Bahagian Kapit.

Lebih daripada 200 orang telah menghadiri majlis tersebut yang disajikan dengan pelbagai juadah yang enak seperti lemang, kari, rendang daging, nasi briani dan sebagainya.

Pegawai JAIS Bahagian Kapit Kassim Mohidin ketika ditemui berkata, tujuan mengadakan majlis ini adalah untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri yang masih lagi berlangsung di samping dapat mengeratkan silaturahim dan ukhwah serta perpaduan di kalangan pelbagai golongan masyarakat. -EDISI UKAS