Misi Penerbangan Ihsan Bawa Pelajar Duduki STPM Pada Isnin Depan

Disiarkan pada 07 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Misi penerbangan ihsan dilakukan bagi membawa pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Syafinaz Deng dengan menggunakan helikopter Bell Jetranger B3 milik Hornbill Skyways pada petang Jumaat.

Syafinaz Deng yang merupakan pelajar kaum Penan dari SMK Marudi diterbangkan khas oleh juruterbang Kapten James Dario Canero dari Apau Nyaring iaitu sebuah kawasan di pedalaman Miri ke Lapangan Terbang Marudi pada pukul 4.32 petang tadi bagi menduduki peperiksaan pada Isnin.

Menurut Pegawai Daerah Beluru Charles Aloysius Lisu yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Beluru, terdahulu helikopter ini telah menghantar bantuan pek makanan kering kepada penduduk Apau Nyaring yang terputus hubungan selama dua minggu susulan insiden jalan raya yang telah runtuh.

Beliau memberitahu, pihak kampung telah memohon bantuan daripada juruterbang helikopter Hornbill Skyways tersebut agar membantu menghantar pelajar ini ke SMK Marudi di Marudi untuk menduduki peperiksaan STPM semasa helikopter dalam perjalanan balik ke Miri

Beliau menambah, misi penghantaran bantuan ke Apau Nyaring akan selesai esok yang akan memberi manfaat kepada seramai 276 orang penduduk komuniti Penan di situ.

Syafinaz telah dihantar oleh ibu bapanya sebelum menaiki helikopter berkenaan.

Setibanya di Marudi pada pukul 5:10 petang Syafinaz disambut oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Baram. -EDISI UKAS