Terma 'Negeri' Pada Dewan Undangan Negeri Sarawak Boleh Digugurkan

Disiarkan pada 04 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Terma ‘negeri’ pada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak boleh digugurkan, kata Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Melontarkan pandangan peribadi, Speaker DUN Sarawak itu menjelaskan ia selaras dengan peruntukan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mengiktiraf Sarawak sebagai wilayah.

Bagaimanapun Badan Eksekutif Sarawak perlu memutuskan sama ada untuk mengeluarkan perkataan 'negeri' daripada Dewan Undangan Negeri Sarawak atau sebaliknya.

“Memandangkan kita adalah sebuah wilayah, adalah logik bahawa perkataan ‘negeri’ digugurkan. 

“Jadi Dewan Undangan Negeri Sarawak sepatutnya dikenali sebagai Dewan Undangan Sarawak kerana kita bukan negeri.

“Saya serahkan kepada eksekutif (untuk membuat keputusan),” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Pra Majlis Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat PBB di sini pada Sabtu. 

Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian pada 21 April lalu menyatakan tempat itu harus dinamakan 'Dewan Undangan Sarawak' dan bukannya 'Dewan Undangan Negeri Sarawak'.

Datuk Amar Dr Sim berkata perubahan itu adalah untuk mengiktiraf Sarawak sebagai rakan pengasas Malaysia dan bukan sekadar sebuah negeri.

Sementara itu, Mohamad Asfia berkata sekiranya perubahan itu berlaku, beliau mencadangkan ahli dan speaker dewan itu dipanggil Ahli Dewan Sarawak dan Speaker Dewan Sarawak.

Beliau juga menolak penggunaan perkataan 'wilayah' kerana ia akan mengurangkan status Sarawak kepada Wilayah Persekutuan.-EDISI UKAS