BINTULU: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Bintulu pada Khamis bagi meninjau keadaan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di situ.
Lawatan tersebut dibuat susulan keadaan banjir yang semakin pulih, dengan sebahagian besar mangsa telah kembali ke rumah masing-masing selepas air surut.
Dalam lawatan itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menyaksikan penyampaian sumbangan oleh Bintulu Port Sdn Bhd berjumlah RM25,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu (JPBBB) dan RM10,000 kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.
Selain itu, bantuan keperluan asas turut disampaikan kepada penghuni PPS bagi meringankan beban mereka.
Beliau dalam pada itu menzahirkan harapan agar mangsa banjir yang masih berlindung di PPS terus tabah menghadapi dugaan ini dan menitikberatkan kesejahteraan diri serta keluarga.
Bencana ini katanya, bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan rumah dan harta benda tetapi turut menjejaskan peralatan asas persekolahan anak-anak.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datu Jafri Lias, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datu Ir. Ts. Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan tetamu lain.-EDISI UKAS