KUCHING: Menyedari bahawa perubahan iklim bukan lagi ancaman masa depan, tetapi telah menjadi isu yang semakin mendesak, kerajaan Sarawak terus mengambil langkah-langkah proaktif untuk menangani isu tersebut, dengan memberi fokus utama kepada keselamatan infrastruktur tenaga dan kawasan pesisir yang berisiko tinggi.
Dalam satu pertemuan penting bersama Profesor Woo Wing Thye dan Profesor Leong Yuen Yoong dari Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDSN) pada Khamis, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, membincangkan pendekatan berasaskan sains dan data dalam menguruskan risiko perubahan iklim.
Tumpuan diberikan kepada kepentingan mengintegrasikan unjuran kenaikan paras laut global (SLR) ke dalam model kawasan perumahan, industri dan sektor tenaga di Sarawak.
Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam membangunkan model bagi sektor tenaga, serta merumuskan cadangan dasar yang lebih menyeluruh dan berkesan untuk melindungi infrastruktur tenaga di Sarawak daripada kesan akibat kenaikan paras laut.
Perbincangan sama juga menyentuh tentang insiden limpahan air laut yang berlaku secara mendadak tanpa hujan atau ribut di pesisir pantai China, dari Liaoning hingga Jiangsu pada Oktober 2024, yang telah memberikan peringatan jelas kepada Sarawak mengenai risiko perubahan iklim yang boleh berlaku tanpa sebarang amaran.
Kejadian ini mengingatkan betapa pentingnya meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi fenomena luar biasa yang sukar diramal.
Selain itu, turut dibincangkan mengenai pelbagai inisiatif yang sedang dikaji oleh kerajaan Sarawak untuk memperkukuh ketahanan sistem tenaga, di samping meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan melindungi kawasan pesisir daripada kesan perubahan iklim.
Kerajaan Sarawak telah merangka empat langkah utama, termasuk menilai kerentanan kawasan-kawasan utama seperti perumahan, industri dan infrastruktur tenaga berdasarkan unjuran kenaikan aras laut serta perubahan iklim.
Langkah seterusnya ialah melakukan pemetaan geospatial untuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi di sepanjang pesisir Sarawak, mengkaji kesan ekonomi dan sosial terhadap sektor tenaga sekiranya berlaku bencana alam akibat perubahan iklim serta menyusun semula perancangan infrastruktur dengan mengambil kira kenaikan aras laut untuk memastikan pembangunan yang lebih tahan bencana.
Dengan segala langkah ini, Sarawak bertekad untuk memastikan masa depan yang lebih selamat dan mampan bagi rakyatnya serta berperanan sebagai contoh dalam menghadapi cabaran perubahan iklim di peringkat global.-EDISI UKAS