Lima Acara Utama Bakal Semarakkan Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024

Disiarkan pada 04 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024, komuniti Bidayuh telah menetapkan penganjuran lima acara utama yang bakal menyemarakkan lagi perayaan tersebut.

Temenggong Bidayuh Bahagian Kuching, Atok Dirop berkata, kelima-lima acara berkenaan ditetapkan sebagai platform untuk mengetengahkan budaya dan warisan masyarakat Dayak di negeri ini, sekali gus menyumbang kepada kerancakkan ekonomi.

Bercakap ketika ditemubual UKAS pada Jumaat, beliau memberitahu, acara pertama yang bakal diadakan sebagai pembuka tirai adalah 'Gawai Bazaar', iaitu pesta ria secara besar-besaran yang diadakan di MJC Batu Kawa bermula 16 hingga 26 Mei ini.

"Kita akan menyediakan pelbagai gerai jualan terbuka kepada semua masyarakat bagi memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha kecil untuk menjana pendapatan,"katanya.

Dalam pada itu, acara kedua menurutnya ialah, 'Karnival Gawai Bau' yang turut akan bermula 16 Mei ini dan berakhir pada 18 Mei.

"Sepanjang tiga hari, kita adakan pentas rakyat yang menampilkan persembahan kebudayaan dan mainan gong.

"Kita juga adakan perarakan dari Dewan Suarah Bau ke Lobuh Bau. Semua kontinjen akan menikmati juadah yang dijual oleh pengusaha-pengusaha gerai yang dibuka di Lobuh Bau pada 18 Mei kelak," jelasnya.

Tambah Atok lagi, 'Karnival Gawai Peringkat Bahagian Serian' menjadi acara ketiga yang akan menyusul pada 6 hingga 8 Jun depan di daerah Siburan.

"Kita buat kelainan sikit sebab kita akan adakan Pertandingan Dayung Sangon dan Dari Pogan termasuk Pertandingan Main Gong khas untuk komuniti Bidayuh dari bahagian Serian, Padawan, Bau dan Lundu," ujar beliau.

Jelasnya lanjut, acara yang keempat ialah 'Gawai Parade' atau 'Niti Daun' peringkat negeri, yang akan diadakan pada 15 Jun, bermula dari Tun Jugah sehingga Padang Merdeka.

"Perarakan ini akan membabitkan kontinjen-kontinjen dari pelbagai daerah dan bahagian seperti tahun-tahun yang lepas, termasuk kenderaan berhias yang akan menyerikan lagi sekitar bandaraya Kuching," tambahnya lagi.

Manakala, acara penutup adalah 'Gawai Gala Dinner' di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang sekali gus menamatkan sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 dengan penuh kemegahan.

"Saya ditugaskan untuk membuat gimik perasmian pada makan malam itu, dan saya akan menggunakan gendang atau kami panggil 'sebang' untuk menghangatkan lagi suasana pada malam itu kelak," katanya.

Justeru, beliau berharap agar kelima-lima acara berkenaan berjalan lancar di samping menjadi sambutan yang berharga dan membanggakan bagi komuniti Bidayuh serta seluruh masyarakat Sarawak.-Edisi UKAS