Lebih 70 Agensi Sertai Mesyuarat Pertama SCIC, Selaras Hala Tuju Industri Kreatif

Disiarkan pada 04 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Lebih 70 agensi kerajaan dan pihak yang terlibat dalam industri kreatif telah menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Industri Kreatif Sarawak (SCIC) yang pertama.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Pengerusi SCIC, Datuk Snowdan Lawan berkata, mesyuarat tersebut diadakan sebagai langkah awal dalam menyelaras usaha-usaha dan inisiatif berkaitan industri kreatif di negeri ini.

Dalam masa sama katanya, ia merupakan tindak balas kepada arahan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah baru-baru ini yang menggesa penelitian lanjut mengenai hala tuju industri tersebut.

"Industri kreatif antara industri yang lembut dan memainkan peranan yang luas dan besar pada masa ini.

"Di negara jiran contohnya Indonesia, mereka menggunakan ekonomi kreatif memandangkan industri itu besar dan banyak menyumbang kepada negara berkenaan.

"Ini bermakna kita dalam landasan yang betul, namun kita perlu mencari hala tuju di manakah industri kreatif kita khasnya di Sarawak di bawah jawatankuasa ini," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat SCIC, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Datuk Snowdan memberitahu, kewujudan direktori kreatif yang dilengkapi maklumat tertentu sesuatu produk dan pereka
diyakini memudahkan usaha mempromosi dan memasarkan perniagaan melibatkan industri kreatif di Sarawak.

Direktori tersebut jelasnya seperti 'yellow pages' yang dimiliki oleh Telekom Malaysia dengan memaparkan mereka yang terlibat dalam industri kreatif termasuk nama dan produk yang dihasilkan.

"Ia akan tersedia kepada orang awam di mana direktori ini akan memudahkan orang ramai mencari individu yang menghasilkan sesuatu produk seperti kraf tangan, fesyen dan sebagainya.

"Dalam direktori itu akan disediakan nombor telefon bagi memudahkan untuk dihubungi selain akan menyediakan kod QR," tambah beliau.

Snowdan berkata, direktori itu masih dalam susunan oleh pihak Swinburne University dan dijangka siap hujung tahun ini.

Hadir sama mesyuarat itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Desmond Jerukan, Ketua Seksyen Seni, Budaya dan Warisan Dr Elena Chai dan tetamu yang lain.-Edisi UKAS