UNIMAS Perkukuh Budaya Integriti, Komited Perangi Rasuah

Disiarkan pada 06 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh budaya integriti dan tata kelola yang baik.

Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit menekankan bahawa kecemerlangan organisasi dan negara bergantung kepada komitmen serta kerjasama bersepadu daripada semua pihak serta mengutamakan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

“Etika dan integriti dalam perkhidmatan perlu diperlihatkan oleh penjawat awam melalui pelaksanaan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka demi kepentingan umum.

Jika perbuatan tidak beretika dan tidak berintegriti dibiarkan berterusan, ia bukan sahaja menghakis kepercayaan masyarakat malah menjejaskan imej negara serta melumpuhkan organisasi yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengetuai Bacaan Ikrar Integriti sempena Majlis Amanat Integriti UNIMAS 2025 di Arena Gemilang, DeTAR Putra UNIMAS pada Khamis.

Dalam amanat sama, beliau turut mengingatkan bahawa pendidikan dan kesedaran dalam memerangi rasuah tidak boleh diabaikan.

Menurutnya, setiap individu harus mengelak daripada terbabit dalam sebarang bentuk salah laku yang boleh mengancam sistem tadbir urus serta menjalankan tugas dengan amanah, jujur dan berintegriti.

Majlis ini turut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian yang menegaskan kepentingan integriti dalam mencapai Wawasan Pendidikan Negara.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menanam budaya integriti, majlis ini turut menyaksikan pelancaran Butang Lencana Tolak Rasuah UNIMAS serta Pameran Maya (Virtual Reality) Majlis Pegawai Integriti Universiti Awam Malaysia (MPIUA).

Langkah ini membuktikan kesungguhan UNIMAS dalam membudayakan integriti sebagai asas kecemerlangan institusi pendidikan tinggi dan memastikan ia kekal sebagai universiti bebas rasuah.-EDISI UKAS