Bangladesh Tinjau Potensi Kerjasama Menjangkau Bidang Sumber Manusia

Disiarkan pada 06 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Bangladesh meninjau potensi peluang kerjasama menjangkau bidang sumber manusia di Malaysia termasuk Sarawak.

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh,Md Shameem Ahsan memberitahu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bangladesh pada Oktober tahun lalu meningkatkan hubungan kedua-dua negara ke tahap yang baru, di mana kedua negara bersetuju untuk menjalinkan kerjasama melebihi kerjasama dalam bidang sumber manusia.

Jelasnya, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh telah menandatangani Perjanjian Kerjasama (MOC) bersama Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) dua tahun lalu, menjadi langkah pertama mengenalpasti peluang kerjasama baharu.

“Saya rasa kedua-dua negara ini boleh mendapat manfaat yang besar dengan bekerjasama dalam bidang-bidang baharu kerana kita sudah mempunyai hubungan perdagangan dan ekonomi yang kukuh, dengan nilai dagangan antara kedua-dua negara mencecah sekitar USD 4 bilion.

“Malaysia kini merupakan pelabur kesembilan terbesar di peringkat global, menandakan kita boleh pergi lebih jauh dan masih banyak potensi yang boleh diterokai,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai bermesyuarat bersama Presiden SBF, Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg di pejabat SBF pada Khamis.

Sementara itu, Dato Sri Abang Abdul Karim memberitahu, hasil mesyuarat sedikit sebanyak mengenalpasti kerjasama dalam bidang pengeluaran makanan sebagai potensi terbesar yang boleh dilaksanakan antara Sarawak dan Bangladesh.

“Kami meneroka bidang-bidang yang boleh diadakan kolaborasi dan kami telah mengenal pasti sektor makanan, yang mana Bangladesh cukup mahir dalamnya.

“Kita boleh meneroka lebih lanjut, dan mungkin mereka boleh berkongsi teknologi mereka dengan kita, terutamanya dalam pengeluaran padi, kerana Kerajaan Sarawak juga sangat berminat untuk membangunkan sektor ini khususnya dalam pengeluaran makanan, di samping kita juga boleh melihat kepada pembangunan hiliran dalam sektor ini,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran pakar dalam bidang berkenaan pada masa hadapan terutamanya dalam pengeluaran makanan dan teknologi yang digunakan oleh negara Bangladesh.

Turut serta dalam mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Presiden SBF Datuk Philip Ting, Timbalan Setiausaha Agung SBF Louis Ting serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS