DBKU Cadang Jalin Kerjasama Dengan Kyoto, Jepun

Disiarkan pada 04 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bercadang untuk menjalinkan kerjasama dengan bandar raya Kyoto di Jepun.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, lawatan ke Jepun membolehkan mereka menyaksikan banyak amalan terbaik untuk penambaikan untuk bandar raya Kuching.

“Saya mohon agar satu kertas kerja disediakan bagi tujuan tersebut untuk dibentangkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang disempurnakan oleh Premier Sarawak di sini pada Jumaat.

Datuk Dr Abdul Rahman menambah, cadangan itu susulan daripada lawatan rombongan DBKU ke Miyako Ecology Center, Kyoto yang diberi pendedahan tentang insiatif menjaga alam sekitar oleh Kyoto Municipal Center termasuk ke Sustaina Kyoto bagi mempelajari pengurusan sisa sisa pepejal. 

Jelasnya, ia juga merupakan salah satu slogan DBKU iaitu Clean, Beautiful, Safe, Smart dan Sustainable (CBS) iaitu teras ‘Clean’ atau bersih terutamanya dalam  menginstitusikan Sampah Sifar ataupun ‘Zero Waste’.

“Selain itu, Untuk Beautiful atau Cantik pula, sasarannya adalah untuk menjadikan Kuching sebagai bandaraya bercahaya dihiasi kehijauan serta alam bina yang estetik,” tambahnya lagi. -EDISI UKAS