Kualiti Udara Perlu Diutamakan, Tingkatkan Kedudukan Sebagai Bandar Terbersih Di Dunia

Disiarkan pada 04 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Aspek kualiti udara perlu diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan kedudukan Kuching sebagai antara bandar raya terbersih di dunia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak membuat satu pendekatan dari sudut aliran trafik dan mobiliti kenderaan bagi mengurangkan pencemaran udara.

“Untuk kita pertahankan kedudukan bandar raya kita sebagai salah satu bandar terbersih, maka Sarawak satu-satunya negeri yang mengutamakan penggunakan bahan api yang mesra alam iaitu hidrogen.

“Pengangkutan awam kita menggunakan bahan api yang bersih dan kita berharap kenderaan yang digunakan di Sarawak juga menggunakan bahan api terbersih mengikut pelan hala tuju kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.

Premier Sarawak menambah, penggunaan Transit Aliran Autonomi (ART) juga menjadi satu pendekatan mesra alam di mana pengangkutan awam yang tidak mencemarkan alam sekitar.

“Saya berharap DBKU dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan akan mengenal pasti dan sentiasa berhubung dengan rakyat betapa pentingnya mempunyai pengangkutan awam yang tidak mencemarkan udara.

“Ini akan menaikkan lagi kedudukan kita sebagai salah satu bandar raya terbersih di dunia untuk jangka masa panjang,” katanya.-EDISI UKAS