BINTULU: Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi membantu penduduk rumah panjang Edward Chai dan rumah panjang Boniface Bada yang terjejas akibat banjir.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena mengadakan lawatan pada Selasa menggunakan bot penduduk kerana jalan utama masih dinaiki air dan tidak dapat dilalui kenderaan.
Dalam ucapan ringkas di rumah panjang Boniface Bada, Dato Sri Dr Stephen Rundi mengumumkan setiap rumah panjang akan menerima RM50,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM100,000 bagi membantu penduduk yang terkesan.
Bantuan ini diberikan atas keprihatinan beliau terhadap kesukaran yang dihadapi penduduk akibat bencana tersebut.
“Saya berharap peruntukan ini dapat meringankan beban penduduk dan membantu mereka mendapatkan keperluan asas sepanjang tempoh pemulihan,” katanya.
Menurut laporan, penduduk yang terjejas tidak berpindah ke pusat pemindahan kerana masih boleh menduduki tingkat atas rumah panjang mereka yang bertiang dua tingkat.
Namun, mereka masih memerlukan bantuan makanan kering kerana jalan utama tidak dapat diakses menggunakan kenderaan.
Hadir sama Residen Miri Galong Luan, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis, bekas Temenggong Wilson Atong Limping serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Collin Patan.-EDISI UKAS