PGU PDRM Guna Helikopter Hantar Bantuan Makanan Ke Pedalaman Tatau

Disiarkan pada 05 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


TATAU: Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan misi penghantaran bantuan makanan ke kawasan pedalaman Ulu Anap, Tatau menggunakan helikopter AW139 hari ini.

Misi terakhir penghantaran ini diketuai oleh Kapten SUPT Awang Hasbullah Awang Ghazali, dengan pembantu juruterbang SUPT Siew l Dugol.

Turut serta dalam penerbangan adalah Pemerhati Udara SI Philip Negan dan SM Asrizal Alwi.

Untuk rekod, Ulu Anap terletak kira-kira 189 kilometer (km) dari bandar Bintulu dan memerlukan enam jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD), menjadikan penggunaan helikopter sebagai alternatif lebih pantas bagi memastikan bantuan tiba dengan segera.

Selain operasi udara, penghantaran bantuan makanan ke kawasan terjejas banjir di Daerah Tatau turut dilaksanakan melalui jalan darat dan sungai.

Usaha ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Tatau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tatau/Sebauh, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Langkah proaktif ini bertujuan memastikan penduduk di kawasan terpencil mendapat bekalan keperluan asas dengan segera terutama dalam menghadapi cabaran bencana alam.-EDISI UKAS