DBKU Perlu Bersedia Berdepan Transformasi Masa Hadapan

Disiarkan pada 04 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bakal berdepan cabaran transformasi bandar raya yang pesat bukan sahaja pada masa kini tetapi juga masa hadapan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, justeru DBKU perlu bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan sejajar dengan urbanisasi yang pesat serta kepadatan bandar semakin tinggi.

Menurutnya, transfornasi bandar raya yang pesat kini melibatkan pembangunan di beberapa kawasan di Kuching.

"Kalau di Satok, kita akan berkembang daripada Segedup, dengan jalan raya, ke arah Petra Jaya iaitu di kawasan Tupong yang juga akan ditingkatkan infrastrukturnya disebabkan kepadatan di kawasan tersebut.

"Pertambahan infrastruktur ini disebabkan ia akan menjurus membangun ke arah Pantai Damai terutamanya di kawasan Telaga Air yang mempunyai projek besar iaitu pembinaan Universiti i-Cats di Trombol yang semestinya membuka pelbagai pembangunan di kawasan tersebut," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DBKU di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.

Premier Sarawak menambah, kawasan Segedup juga akan menerima program penempatan semula yang sama seperti di Sungai Bedaun di mana satu kawasan besar telah dikenalpasti bagi program tersebut.

Selain itu katanya, pembinaan Stesen Utama Aliran Transit Automasi (ART) di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) dan juga pelan jangka masa panjang untuk kawasan Semariang yang berkonsepkan sama seperti kawasan Darul Hana akan membolehkan pembangunan pesat dijalankan.

"Ini bermakna DBKU akan menjadi satu kawasan yang kita akan transformasikan," ujarnya.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN Satok Dato Ibrahim Baki serta tetamu kenamaan yang lain -EDISI UKAS