UNIMAS Kukuhkan Kepelbagaian Kampus, Sambut Tahun Baharu Cina Bersama Pelajar Antarabangsa

Disiarkan pada 05 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus memperkukuh reputasinya sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa apabila penganjuran sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini menyaksikan penglibatan hampir 200 pelajar dari pelbagai negara.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, acara tersebut bukan sekadar satu perayaan tetapi juga bukti kepada kepelbagaian budaya yang diraikan di universiti itu, sejajar dengan peningkatan jumlah pelajar antarabangsa yang kini mencecah 700 orang.

“Sambutan kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana ia lebih berskala besar dengan penyertaan ramai pelajar antarabangsa.

“Ini mencerminkan persekitaran pembelajaran yang semakin inklusif dan kepelbagaian yang menjadi tarikan utama UNIMAS,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina UNIMAS Global di Galeri DeTAR Putra, pada Rabu.

Beliau turut menekankan bahawa UNIMAS bukan sahaja menjadi pusat akademik tetapi juga platform yang menghubungkan pelajar dari pelbagai latar belakang untuk memahami budaya Sarawak yang unik.

Menurutnya, trend kemasukan pelajar antarabangsa ke UNIMAS menunjukkan peningkatan positif, dengan sasaran 1,500 pelajar menjelang 2026.

“Kita mahu pelajar antarabangsa bukan sahaja menimba ilmu tetapi juga mengalami sendiri keunikan Sarawak. Ini secara tidak langsung dapat mempromosikan UNIMAS di peringkat global,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan bahawa terdapat pelajar yang melanjutkan pengajian dari peringkat ijazah sarjana muda hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) di UNIMAS, membuktikan keyakinan mereka terhadap kualiti pendidikan dan suasana pembelajaran di universiti tersebut.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie; Timbalan Konsul Jeneral Rakyat China di Kuching, Song Changhong; Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono serta Konsul Jeneral Negara Brunei Darussalam di Kuching, Sheikh Abdul Mahdani Dato Paduka Sheikh Abdul Gani.-EDISI UKAS