DBNA Sumbang RM19,800 Kepada Keluarga Mendiang Joanna

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Ahli-ahli Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) berjaya mengumpul dan menyumbangkan sebanyak RM19,800 kepada keluarga mangsa nahas helikopter, mendiang Joanna Felicia Rohna.

Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Presiden DBNA Sarawak Datu Ik Pahon Joyik bersama Ahli Exco Cawangan Serian, Kedup dan Siburan di kediaman keluarga mangsa di Kampung Engkeroh pada Jumaat.

Menurut beliau, sumbangan ini bukan sahaja daripada ahli DBNA sahaja tetapi juga dari rakan-rakan lain yang berbangsa Cina dan juga Melayu.

Dalam kesempatan itu, Datu Ik menzahirkan penghargaan kepada semua ahli DBNA dan penderma dari dalam dan luar negara kerana sudi menderma seterusnya menyokong inisiatif murni DBNA untuk meringankan beban keluarga mangsa.

Hadir sama, Timbalan Presiden DBNA merangkap Pengerusi DBNA Cawangan Serian Dr Chali Ungang, Pengerusi DBNA Cawangan Batang Kedup Bill Thomas, Temenggong Henry Bujang Senden dan Timbalan Pengerusi DBNA Cawangan Serian Dr Clarance Jerry. -EDISI UKAS