Long Napir Terus Maju, Pembangunan Infrastruktur Diperkasa

Disiarkan pada 05 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.1 juta bagi pembinaan dua buah projek jambatan gantung di Long Napir di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata projek ini bertujuan memudahkan mobiliti penduduk masyarakat Kelabit dan Penan serta meningkatkan keselamatan pelajar di kawasan tersebut.

Ujarnya, projek terbahagi kepada jambatan gantung di Kampung Bahagia, Long Napir yang bernilai RM600,000 dan jambatan gantung di SK Long Napir, Ulu Limbang bernilai RM500,000 yang dibangunkan di bawah dana Lembaga Kumpulan Wang Konsesi Hutan.

“Kita bersyukur kerana komuniti di sini memberi kerjasama yang baik yang amat penting dalam memastikan pelaksanaan projek kerajaan berjalan lancar dan memberi manfaat yang maksima kepada rakyat.

“Tanpa kerjasama yang kukuh dari penduduk setempat, usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan pedalaman akan lebih mencabar,” katanya dalam Majlis Perasmian Jambatan Gantung di SK Long Napir dan Kampung Bahagia di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, satu lagi projek utama yang bakal direalisasikan ialah pembinaan klinik kesihatan di Long Napir yang dijangka memudahkan akses penduduk kepada perkhidmatan perubatan.

Terdahulu, Dato Paulus turut mengumumkan bahawa projek pembinaan dewan serbaguna di Kampung Bahagia akan bermula pada tahun 2026 secara berfasa.

Beliau juga meluluskan geran berjumlah RM25,000 yang diagihkan kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Long Napir dan JKKK Kampung Bahagia dengan masing-masing menerima RM10,000 serta RM5,000 kepada PIBG SK Long Napir.

Hadir sama wakil Residen Bahagian Limbang Jaenly Marten, Pegawai Daerah Limbang Danny David serta tetamu lain.-EDISI UKAS