22 KMKK Di Lingga Terima Sijil Lantikan

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS


LINGGA: Seramai 22 orang Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Lingga menerima sijil lantikan dalam Majlis Ramah Tamah dan Pra-Gawai Pejabat Daerah Lingga Tahun 2024 di sini pada Jumaat.

Penyampaian sijil berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohammad Shahfizan Kepli.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu, peranan KMKK amat penting di peringkat akar umbi sebagai perantaraan di antara rakyat dengan pihak kerajaan. 

Selain itu, KMKK dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan harus bergerak seiringan untuk meneruskan pembangunan khususnya di kawasan Daerah Lingga.

Beliau juga menyeru Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sentiasa aktif merangka program untuk rakyat di kawasan mereka.

Turut hadir, Residen Bahagian Sri Aman Mohammad Porkan Budiman, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Charlie Keling dan Pemangku Pegawai Daerah Lingga Frank Lani. -EDISI UKAS