Perlindungan & Kesejahteraan Pekerja Aspek Perlu Diberi Keutamaan

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Perlindungan dan kesejahteraan pekerja adalah aspek yang sangat penting yang perlu seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, perlindungan serta kesejahteraan pekerja harus diberikan keutamaan.

Menurutnya, hal ini harus dilakukan dengan mewujudkan peraturan yang sesuai serta kestabilan sosial yang menyeluruh demi melindungi kepentingan setiap individu dan keluarga.

"Jadi, anda mempunyai peraturan untuk memastikan pekerja dilindungi, kestabilan, keselamatan sosial yang bermaksud perlindungan bagi dirinya sendiri, balunya, isi rumahnya dan sebagainya.

“Tetapi kita mesti menjaga ekonomi negara terlebih dahulu. Anda berjaya, anda berprestasi, anda sebut sahaja. Kita boleh meningkatkan pendapatan pekerja. Kita boleh menekan kapitalis yang tamak untung. Begitulah cara kita bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Sesi Libat Urus Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.

Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia menambah, pihak kerajaan komited dalam menjaga kesejahteraan rakyat sambil memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan matlamat menjadikan negara Sarawak sebagai peneraju dan wilayah terunggul di Malaysia.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen semua ADUN atas komitmen mereka dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan usaha tersebut merupakan tanggungjawab utama yang perlu dilaksanakan oleh setiap wakil rakyat.

"Saya gembira bahawa anda semua berminat dalam kesejahteraan rakyat kita kerana itu adalah tugas kita dan untuk memastikan negara kita berjaya, bajet kita menjadi yang terbaik di negara ini dan kita menjadi wilayah nombor satu di Malaysia,” ujarnya.

Untuk rekod, PERKESO Negeri Sarawak meneruskan inisiatif memperluas dan memperkukuhkan lagi jaringan keselamatan sosial dengan mengadakan sesi libat urus itu.

Sesi libat urus yang julung kalinya diadakan itu telah dihadiri seramai 28 ADUN seiring dengan peranan wakil rakyat yang sentiasa cakna dengan keperluan dan permasalahan rakyat. -EDISI UKAS