SUKMA XXI Sarawak 2024 Bawa Limpahan Ekonomi Kepada Sarawak

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS


SHAH ALAM: Pemain industri perhotelan, inap desa, makanan dan pengangkutan di Sarawak bakal menerima limpahan ekonomi dari penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang bakal berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, industri-industri terbabit harus bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada seramai 12,610 atlet dan pegawai yang akan berkampung di sembilan bahagian di negeri ini kelak.

"Temasya sukan dwitahunan ini pasti akan menganjakkan lagi industri sampingan baiknya makanan yang menyediakan kenderaan, inap desa dan sebagainya.

"Selain daripada atlet dan pegawai, penyokong-penyokong juga datang untuk memberikan sokongan dan industri-industri ini juga akan berkembang untuk membantu acara-acara sukan di tempat pertandingan.

"Ini sekali gus akan meningkatkan ekonomi rakyat-rakyat tempatan terutama yang menyediakan gerai makanan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mengetuai delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 melakukan kunjungan hormat ke atas Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi di Kompleks Belia & Kebudayaan Negeri Selangor pada Jumaat.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Belia & Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan) Datuk Dr. Ripin Lamat, Timbalan Setiasusaha Tetap Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dolhadi Mazuki, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe serta delegasi lain.

Sementara itu, Dato Sri Abdul Karim berkata kontinjen Sarawak enggan mendabik dada akan peluang mereka untuk mendominasi acara taekwondo dan terjun pada SUKMA XXI Sarawak 2024 walaupun dua acara pilihan, pomsae berpasukan lelaki dan 10 meter platform seirama wanita dipertandingkan semula.

Kedua acara tersebut yang asalnya digugurkan dipertandingkan semula selepas keputusan mesyuarat terakhir Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 30 April lepas.

Menurutnya, walaupun Sarawak ada kelebihan dalam dua acara tersebut namun peluang negeri-negeri lain khususnya Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak harus dipandang ringan.

“Kita tidak mahu terlalu memikirkan bahawa kita terlalu kuat dan terlalu yakin hingga akhirnya gagal untuk memenangi pingat emas,” tegas Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan ke atas Kerajaan Selangor kerana akan menghantar seramai 1083 atlet dan pegawai untuk bertanding pada temasya kali ini. – EDISI UKAS