Ceburi Industri Bakeri, Jana Pendapatan & Buka Peluang Pekerjaan

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Orang ramai digalakkan untuk menceburi bidang bakeri kerana ia bukan sahaja dapat menjana pendapatan malah mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, perniagaan berasaskan produk berasaskan bakeri terbuka kepada masyarakat tanpa mengira usia.

Menurutnya, apa yang penting ialah minat yang mendalam dan semangat yang tinggi untuk mempertingkatkan status sosio ekonomi mereka.

"Orang ramai yang berminat dalam industri bakeri, tidak kira sama ada org tua atau muda, adalah digalakkan untuk mengambil bahagian dalam mempelajari kraf bakeri. 

"Golongan seperti suri rumah tangga, ibu tunggal, pelajar serta mereka yang berminat dalam bidang bakeri ini boleh menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari dalam kursus bakeri ini untuk memulakan perniagaan sendiri dan membawa asas ekonomi kepada keluarga mereka," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa Kursus Asas Bakeri anjuran Sarawak Taiwan Graduates' Association Miri Division bersama Miri Education Initiative Society Miri City Women Caring Association di sini baru-baru ini. 

Difahamkan, seramai 70 orang peserta menyertai kursus yang dikendalikan oleh tiga chef bakeri termasuk dari Taiwan Chung Hua University, Associate Professor Chen Yao Ling, Pengasas The Twin Brothers Patisserie Lee Jun Tak dan Lee Jun Wei.

Dalam pada itu, Datuk Sebastian Ting menambah, Lee Jun Tak dan Lee Jun Wei juga mengunakan bahan segar tempatan untuk menghasilkan barangan penjualan mereka, sekaligus dapat membantu mempromosikan ekonomi tempatan. -EDISI UKAS