Bantuan Pendidikan Bantu Pelajar Kawasan Daro

Disiarkan pada 04 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


DARO: Bantuan pendidikan daripada Kerajaan Sarawak banyak memberi manfaat kepada pelajar-pelajar di kawasan Daro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad menegaskan, Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan bagi memastikan anak-anak Sarawak mendapat peluang yang sama rata dalam mengejar kecemerlangan akademik.

“Antara bantuan tersebut termasuklah bantuan kewangan kepada keluarga kurang mampu, biasiswa, serta insentif kepada pelajar yang cemerlang,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan Beg Sekolah kepada pelajar-pelajar dari kawasan N.43 Daro di Masjid Al- Muhsiniin Daerah Daro pada Isnin.

Safiee menyatakan komitmen beliau untuk terus membantu memperkasa pendidikan di kawasan Daro serta memastikan setiap anak-anak mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti tanpa sebarang halangan.

Beliau berharap sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada para pelajar dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi sesi persekolahan yang akan datang.

Seramai 410 orang murid dari lapan buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di kawasan tersebut menerima bantuan tersebut yang bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa dalam persediaan anak-anak mereka untuk kembali ke sekolah.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah Daro. -EDISI UKAS