KUCHING: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak mengingatkan majikan dan pekerja mengenai pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025, menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan.
Pengerusi MTUC Bahagian Sarawak, Zaidi Nasar berkata, perintah ini mewajibkan majikan yang mempunyai lima pekerja atau lebih untuk membayar gaji minimum tersebut.
Menurutnya, majikan yang menjalankan aktiviti profesional juga tertakluk kepada perintah ini, tanpa mengira jumlah pekerja yang digajikan.
"Bagi majikan yang menggaji kurang daripada lima pekerja, perintah ini akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.
"MTUC menegaskan bahawa gaji minimum ini merujuk kepada gaji pokok dan tidak termasuk elaun, insentif, atau bayaran tambahan lain," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Zaidi Nasar menambah, pekerja yang dibayar mengikut sistem upah kerja, berat tan, tugasan, perjalanan, atau komisen juga berhak menerima gaji bulanan tidak kurang daripada RM1,700.
Katanya, MTUC juga mengingatkan bahawa majikan tidak boleh membayar gaji pokok lebih rendah daripada gaji minimum walaupun dengan persetujuan pekerja.
"Sekiranya terdapat pelanggaran, pekerja digesa membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja.
"Selain itu, MTUC menyeru pekerja untuk menyebarkan maklumat ini kepada rakan sekerja dan majikan, selain meningkatkan produktiviti serta menjalin hubungan baik dengan pihak majikan bagi manfaat bersama.
“Kenaikan gaji minimum ini bertujuan membantu pekerja menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat,” tambahnya.
Pekerja yang menghadapi masalah berkaitan pematuhan gaji minimum boleh menghubungi Jabatan Tenaga Kerja atau MTUC Bahagian Sarawak melalui e-mel agsmtucswk@gmail.com untuk mendapatkan bantuan.-EDISI UKAS