PPS SK Sampun Tebun Ditutup, Mangsa Banjir Pulang ke Rumah

Disiarkan pada 02 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


ASA JAYA: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sampun Tebun, Asajaya, ditutup sepenuhnya pada Ahad setelah keadaan banjir kembali pulih.

Pegawai Daerah Asajaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, memaklumkan bahawa penutupan PPS itu dilakukan pada jam 4 petang selepas pemantauan menyeluruh bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan terjejas.

“Pemantauan mendapati keadaan ketika ini selamat daripada bencana banjir, dan semua mangsa telah melakukan kerja-kerja pembersihan sebelum kembali ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Sebanyak 296 mangsa daripada 106 ketua isi rumah dari empat kampung terjejas iaitu Kampung Sampun Gerunggang, Kampung Sampun Kelili, Kampung Sampun Jugu dan Kampung Sampun Tebun ditempatkan di PPS berkenaan sebelum dibenarkan pulang.

Turut hadir dalam operasi pemantauan ialah Pegawai Pertahanan Awam Daerah Asajaya, Hafizul Samah.— EDISI UKAS