LUBOK ANTU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sebungko Asal, Lubok Antu, menerima peruntukan khas sebanyak RM20,000 bagi memperkasakan pembangunan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, berkata bantuan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat di semua peringkat, termasuk dalam aspek infrastruktur dan kebajikan masyarakat.
“Kita mahu memastikan setiap komuniti mendapat manfaat pembangunan yang seimbang dan dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat,” katanya ketika menghadiri majlis Ngabang Tahun Baru Cina 2025 di kediaman Kapitan Yap Yo Yo pada Sabtu.
Dalam pada itu, Malcolm turut menzahirkan rasa prihatin terhadap penduduk di Bintulu dan Miri yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh.
“Dalam kita meraikan perayaan ini, kita tidak melupakan mereka yang diuji dengan musibah.
“Saya berharap mereka tabah menghadapi keadaan ini dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan masing-masing,” ujarnya.
Turut hadir dalam rombongan Ngabang ini ialah Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau, Setiausaha Politik kepada YAB Premier Sarawak, Roseline Neging, En. James Girum, serta tetamu jemputan lain.— EDISI UKAS