SAMARAHAN: Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Samarahan, iaitu PPS SK Endap, PPS Balai Raya Kampung Nangka, dan Dewan Entingan, secara rasmi ditutup pada Ahad selepas situasi banjir di kawasan itu kembali terkawal.
Menurut Pegawai Daerah Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, semua mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan telah dibenarkan pulang setelah pemantauan mendapati keadaan sudah selamat.
Keadaan cuaca yang bertambah baik dan paras air yang surut menjadi petunjuk positif bahawa risiko bencana telah berkurangan.
Seramai 259 mangsa daripada 90 ketua isi rumah sebelum ini telah ditempatkan di PPS tersebut, bagi memastikan keselamatan mereka sepanjang tempoh banjir.
Ahmad Abdul Razak turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha penyelamatan dan pemindahan mangsa.
Turut hadir meninjau perkembangan terkini, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Samarahan, Hasrol Awi, yang memberikan sokongan dalam memastikan kesejahteraan mangsa terjamin. - EDISI UKAS