Kerajaan Fokus Penyelesaian Jangka Panjang, PPS Kekal & RM1 Bilion Tambatan Banjir di Sarawak

Disiarkan pada 02 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Kerajaan Persekutuan dan Negeri terus memperkukuh usaha menangani bencana banjir di Sarawak dengan memperkenalkan langkah jangka panjang termasuk pembinaan pusat pemindahan sementara (PPS) kekal serta peruntukan lebih RM1 bilion bagi projek Tambatan Banjir di Kuching.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata inisiatif ini bertujuan memastikan pengurusan bencana lebih efektif dan selesa bagi mangsa serta petugas keselamatan.

Beliau menjelaskan bahawa salah satu maklum balas yang diterima di Serian adalah berkaitan kekurangan kemudahan di PPS, terutamanya tandas, bilik mandi dan kawasan memasak.

“Apa yang saya cadangkan ialah setiap daerah dan bahagian mengemukakan cadangan penambahbaikan supaya kita dapat menyediakan PPS secara kekal.

“Pusat ini boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dan memastikan keselesaan lebih baik kepada mangsa banjir di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Gelanggang Futsal Tertutup Serian dan PPS Dewan Ranchan Serian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan Program Tambatan Banjir di Kuching dengan kos lebih RM1 bilion, merangkumi tiga pakej utama bagi mengurangkan risiko banjir di Bau, sebahagian Serian, dan Kuching.

“Kita akan terus mengenal pasti kawasan lain yang memerlukan penyelesaian jangka panjang.

“Selain itu, terdapat projek hakisan pantai dan tembatan banjir yang sedang dijalankan, manakala beberapa projek baharu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadillah memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi membantu mangsa banjir, selain bantuan tunai RM1,000 yang diumumkan Perdana Menteri untuk mereka yang berpindah ke PPS.

Namun, beliau menekankan keperluan untuk mangsa banjir berdaftar dengan Pejabat Daerah, sama ada mereka berpindah ke PPS atau tidak.

“Di Sarawak, ada keadaan yang berbeza berbanding Semenanjung. Jika mereka tidak berpindah ke PPS, mereka perlu menyatakan sebab supaya kita dapat mengetahui keperluan sebenar,” tambahnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata serta tetamu lain.-EDISI UKAS