Setiausaha Kerajaan Sarawak Santuni Mangsa Banjir di PPS Tebakang

Disiarkan pada 02 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Tebakang Melayu bagi meninjau keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di lokasi berkenaan.

Dalam lawatan itu, beliau bersama rombongan turut menghulurkan bantuan keperluan asas kepada mangsa yang terjejas.

Salah seorang mangsa banjir, Rosniati Narudin, 64, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri sepanjang mereka berada di PPS.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang membantu kami sejak kami dipindahkan ke PPS. Bantuan ini sangat bermakna dalam menghadapi saat sukar ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Keli Ini, 59, serta anaknya, Khairil Izwan Keli, 18, turut berkongsi pengalaman mereka menghadapi bencana tersebut.

Khairil, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, berterima kasih kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kerana membantu proses pemindahan mereka sejak Selasa lalu.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus serta Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan.

Lawatan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan mangsa banjir terus diberi perhatian serta bantuan yang sewajarnya.-EDISI UKAS