BINTULU: Kumpulan Syarikat Malaysia LNG (MLNG), anak syarikat PETRONAS, tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Bintulu sejak hari pertama bencana itu melanda.
Sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat, MLNG telah menyalurkan bantuan berupa bungkusan makanan dan minuman kepada 1,450 keluarga yang terjejas.
Selain itu, syarikat ini turut menyediakan bekalan petrol serta kenderaan bagi membantu proses pemindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Bantuan ini telah disalurkan ke beberapa PPS utama di kawasan tersebut, termasuk PPS Dewan Suarah Bintulu, PPS Jepak, dan PPS SMK Assyakirin Sungai Plan.
Tidak hanya itu, sumbangan turut disampaikan kepada para petugas bilik gerakan di Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Pejabat Daerah Sebauh, yang bertungkus-lumus menguruskan operasi banjir.
Sesi penyerahan bantuan turut dihadiri oleh beberapa pemimpin utama negara dan negeri, termasuk Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, serta wakil-wakil rakyat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Dato Majang Renggi, ADUN Johnny Phang Leong Ming dan ADUN Jepak Iskandar Turkee.
Turut hadir dalam program ini ialah Naib Presiden Kanan Aset LNG PETRONAS, Abang Yusuf Abang Puteh serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Malaysia LNG, Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi.
MLNG menegaskan bahawa pihaknya akan terus komited untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dalam memastikan bantuan sampai kepada mangsa yang memerlukan.
Langkah ini mencerminkan semangat solidariti dan keprihatinan dalam menghadapi musibah banjir yang melanda Bahagian Bintulu. -EDISI UKAS