MIRI: Dalam usaha memastikan kebajikan mangsa banjir terus terpelihara, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraab Komuniti Sarawak (KPWK) telah menaikkan kadar bantuan makanan kepada RM50 seorang sehari.
Perkara ini diumumkan oleh Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah, ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Tanjong Batu pada Ahad.
Menurut beliau, kenaikan kadar ini bertujuan memastikan makanan yang disediakan di PPS bukan sahaja mencukupi tetapi juga berkualiti.
“Kami mahu memastikan mangsa mendapat makanan yang cukup dan berkhasiat sepanjang berada di PPS,” katanya.
Selain bantuan makanan, Dato Sri Fatimah turut menekankan keperluan khas untuk kanak-kanak, termasuk penyediaan susu dan lampin bayi berdasarkan permintaan ibu bapa.
“Keperluan setiap kanak-kanak adalah berbeza, dan kami memastikan bantuan yang diberikan menepati keperluan mereka,” tambahnya.
Lawatan ini turut disertai Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Norhayati Abdul Rahman, yang menegaskan kepentingan kebersihan dan kesihatan di PPS.
Selain memastikan makanan dan keperluan asas mencukupi, Kerajaan Sarawak juga mengambil langkah menyediakan aktiviti khas untuk kanak-kanak bagi mengurangkan tekanan emosi mereka sepanjang tempoh pemindahan.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memantau keadaan dan menyalurkan bantuan mengikut keperluan semasa bagi memastikan kesejahteraan semua mangsa terjaga. -EDISI UKAS