TATAU: Dalam usaha memastikan bantuan sampai kepada mangsa banjir di kawasan pedalaman Tatau, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan misi penghantaran makanan menggunakan helikopter.
Bermula pada 30 Januari hingga 1 Februari 2025, sebanyak 7,293 kilogram atau 663 bungkusan makanan telah dihantar ke kawasan Nanga Tau dan Penyarai, yang terjejas akibat banjir.
Menurut Pegawai Tadbir Daerah Tatau, Raden Azamry Raden Perhan, penghantaran ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan penduduk di kawasan pedalaman menerima keperluan asas mereka.
Helikopter AW 139 yang terlibat dalam misi ini dipandu oleh Kapten pesawat, Supritendan Polis Awang Hasbullah Awang Ghazali, bersama Pembantu Juruterbang DSP Aris Hadi Alili, Pemerhati Udara SI Roger Kidim, dan SM Chelodi Renuan.
Selain penghantaran menggunakan helikopter, penghantaran bantuan makanan juga diteruskan ke kawasan lain seperti Kakus, Ulu Anap, Kem Gabong, dan Long Beyak.
Makanan juga dihantar melalui jalan sungai dan darat, melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Tatau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tatau/Sebauh, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Raden Azamry dalam pada itu turut menyatakan penghargaan terhadap kerjasama yang diberikan oleh pelbagai pihak, termasuk PDRM IPD Tatau dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Tatau, yang turut membantu dalam pengagihan bantuan ke kawasan yang lebih sukar diakses.
“Dengan usaha keras dan semangat kerjasama ini, bantuan penting dapat disampaikan dengan cepat kepada mangsa banjir, menunjukkan betapa pentingnya koordinasi antara agensi kerajaan dan masyarakat dalam menghadapi cabaran bencana,” katanya. -EDISI UKAS