Gelanggang Tenis Berkelas A, Berbumbung Pertama Di Sarawak

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS


BAU: Peminat sukan tenis mengukir senyuman gembira apabila sebuah gelanggang tenis berkelas A dan berbumbung kini siap sepenuhnya di Kampung Tanjong Singai.

Spesifikasi gelanggang tenis sedemikian merupakan yang pertama dibina di Sarawak secara langsung akan meningkatkan lagi minat dan penyertaan khususnya golongan belia untuk menceburi sukan ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep berkata, idea pembinaan sebuah Dewan Belia Kampung Tanjong Singai yang dapat menempatkan sebuah gelanggang Tenis mengikut standard antarabangsa itu adalah supaya rakyat di kawasan ini dapat menggunakan fasiliti itu untuk bermain tenis dalam sebarang keadaan cuaca bahkan juga pada waktu malam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemberkatan dan Pelancaran Rasmi Dewan Belia Kampung Tanjong Singai bertempat di Kampung Tanjong Bowang di sini pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu menambah, gelanggang yang dinamakan Gelanggang Tenis Love All itu juga terbuka kepada rakyat kawasan Bau yang ingin bermain dan mengasah bakat dalam sukan tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, beliau memberitahu bahawa penduduk di kawasan tersebut dapat membantu kerajaan merancakkan lagi sektor pelancongan sukan dengan membina hostel berkonsepkan rumah panjang berhampiran dewan tersebut akan dilakukan supaya dapat menyediakan kemudahan penginapan kepada para pendaki gunung Singai selain pemain tenis.

Sementara itu, sebaik sahaja selesai majlis Dato Henry bersama 47 orang peserta lain mengambil bahagian dalam  perlawanan Kejohanan Tennis Bau 2024 anjuran Uplands Tennis Club.

Turut hadir ialah Penghulu Kawasan Singai Morris John Siren, Ketua Kaum Kampung Tanjong Bowang Favian Tisen, Ketua Kaum Kampung Tanjong Poting Tonison Matan, Ketua Kaum Kampung Senibung Dicky Lumit. -EDISI UKAS