Sukarelawan Tampil Membantu Pemulihan Pasca Bencana

Disiarkan pada 02 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Semangat perpaduan yang tinggi dan kebersamaan dalam masyarakat Bintulu terserlah apabila ramai sukarelawan, termasuk mereka yang turut terjejas akibat bencana, secara sukarela tampil menghulurkan bantuan bagi pembersihan dan pemulihan pasca bencana yang melanda kawasan tersebut.

Walaupun rumah mereka juga terkesan, sukarelawan-sukarelawan ini memilih untuk mengutamakan kepentingan bersama dan berganding bahu membantu komuniti yang memerlukan, menunjukkan nilai murni serta semangat kemanusiaan yang luar biasa.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, meluahkan rasa bangga terhadap sikap positif dan semangat tanpa mengira kepentingan diri yang ditunjukkan oleh penduduk Bintulu.

"Kita dapat pulih lebih cepat jika kita bersatu. Saya lihat ramai yang rumah mereka juga terjejas, tetapi mereka tetap keluar untuk membantu. Ini adalah semangat masyarakat yang sangat penting.

“Daripada menuding jari, mereka memilih untuk bertindak dan melakukan sesuatu demi kebaikan bersama," katanya ketika mengadakan lawatan ke kawasan banjir di Bintulu pada Sabtu.

Dalam lawatan tersebut, beliau juga menyampaikan penghargaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan pihak berkuasa tempatan yang telah memainkan peranan utama dalam usaha pemulihan bencana.

Dr Sim turut memuji sumbangan masyarakat, termasuk penghantaran tilam kepada mangsa banjir sebagai tanda keprihatinan rakyat Sarawak.

"Tilam ini bukan dibeli, tetapi hasil sumbangan rakyat yang prihatin. Ini adalah contoh terbaik bagaimana rakyat Sarawak bersatu padu dalam menghadapi krisis dan kesusahan," tambah beliau.

Semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh masyarakat Bintulu jelas membuktikan bahawa dengan kerjasama dan keikhlasan, segala cabaran dapat diatasi.

Ketika diuji oleh bencana, penduduk Bintulu memilih untuk bertindak bersama, tanpa menyalahkan pihak lain, dan menjadikan semangat kebersamaan mereka sebagai kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.

Mengiringi beliau dalam lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming. -EDISI UKAS