ADUN Satok Santuni Mangsa Rumah Runtuh Kampung Kudei Lama

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki menyantuni mangsa sebuah rumah runtuh di Kampung Kudei Lama. 

Beliau bergegas ke rumah mangsa apabila menerima laporan mengenai perkara berkenaan untuk meninjau dan menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terkesan daripada insiden tersebut. 

Rumah yang didiami seramai 10 orang termasuk seorang warga emas runtuh pada 1 Mei lalu ekoran tiang rumah berkenaan sudah lama dan mereput. 

Hasil penelitian oleh pihak Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat dan arkitek mendapati bahawa rumah berkenaan diklasifikasikan ‘total loss’ dan perlu dibina semula. 

Buat sementara waktu, semua keluarga mangsa dipindahkan ke rumah sanak saudara yang berada tidak jauh dari tempat kejadian. -EDISI UKAS