SADONG JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris turun padang meninjau keadaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Haji Bujang Rangawan Putin susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini.
Beliau meluangkan masa bertemu dengan mangsa banjir bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keperluan mereka selain memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera.
“Tinjauan ini adalah bagi memastikan kebajikan mangsa banjir di PPS ini terjaga.
"Segala keperluan asas seperti makanan, tempat tidur dan perubatan akan dipastikan mencukupi,” katanya semasa lawatan tersebut pada Sabtu.
Awla juga turut berkesempatan menyampaikan sumbangan bantuan makanan kepada lima Ketua Isi Rumah (KIR) yang telah dipindahkan ke PPS tersebut.
Sumbangan tersebut merupakan sumbangan daripada pihak Petronas bagi sebagai usaha membantu mangsa banjir.
Selain Petronas, Pusat Khidmat DUN N25 Simunjan, Baitulmal Sarawak, Setiausaha Persekutuan Sarawak serta JAKIM Sarawak turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan memuji kemudahan yang disediakan termasuk bekalan makanan mencukupi, tempat tidur yang selesa, serta layanan baik daripada petugas.
Seorang mangsa, Brahim Morin dari Kampung Rangawan berkata, beliau bersyukur kerana PPS tersebut dilengkapi kemudahan asas yang baik dan pengurusan yang teratur.
“Kemudahan di sini mencukupi dan semua terjaga. Saya berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa bertungkus-lumus membantu kami di sini,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi mangsa, Norazdi Azmain juga dari Kampung Rangawan turut memuji keprihatinan petugas yang sentiasa memastikan kesihatan dan keselamatan mangsa terjamin.
Untuk rekod, PPS SK Haji Bujang Rangawan Putin telah dibuka semalam dan menempatkan seramai 21 mangsa yang terdiri lima buah keluarga.
Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin dan Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup.-EDISI UKAS