KOTA SAMARAHAN: Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang telah melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sampun Tebun bagi meninjau keadaan mangsa bencana dan memastikan kelancaran operasi bantuan di PPS tersebut pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan memberitahu, seramai 314 orang mangsa banjir daripada 112 keluarga ditempatkan di PPS tersebut.
Menurut beliau, PPS itu menempatkan penduduk dari empat kampung yang terjejas iaitu Kampung Sampun Gerunggang, Kampung Sampun Kelili, Kampung Sampun Jugu dan Kampung Sungai Bandung.
Selain itu katanya, terdapat 42 orang mangsa banjir yang lain ditempatkan di PPS SK Haji Kelali Semera.
Dalam pada itu, beliau berharap agar semua pihak dapat menjaga keselamatan diri dan keluarga masing-masing supaya tiada perkara yang tidak diingini berlaku dan sentiasa mematuhi arahan yang dkeluarkan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya tiada salah faham berlaku.
Beliau turut melakukan simbolik penyerahan kit
makanan kepada ketua kaum selaku wakil mangsa banjir di setiap kampung yang terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara tersebut.
Turut hadir sama, Pegawai Daerah Asajaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Asajaya Hafizul Samah, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat Daerah Asajaya serta wakil agensi berkaitan.-EDISI UKAS