Operasi Rabies: Jangan Pandang Sepi Kompaun

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sebarang kompaun yang dikeluarkan semasa perlaksanaan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Rabies Sarawak tidak harus dipandang sepi oleh masyarakat umum.

Sebaliknya, kompaun yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Daerah atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS) adalah langkah penguatkuasaan Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 memandangkan masih ada kes Rabies direkodkan di Sarawak. 

Ini kerana masih ramai pemilik anjing yang enggan menghantar anjing peliharaan mereka ke program vaksin besar-besaran yang telah diadakan oleh Majlis Daerah sebelum operasi ini dijalankan. 

Untuk makluman, pemilik anjing yang menerima kompaun dapat membuat permohonan diskaun daripada pihak DVS dan Majlis Daerah sekiranya pembayaran dibuat dalam masa 14 hari. 

Justeru mereka sepatutnya melihat kompaun yang dikeluarkan sepanjang operasi ini sebagai peringatan kepada bahayanya wabak Rabies dan bukannya menimbulkan persepsi negatif.

Pada hari ketiga operasi di kawasan Landeh, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) telah mengeluarkan sebanyak 20 kompaun melibatkan kesalahan tidak memiliki lesen anjing, manakala pihak DVS mengeluarkan sebanyak 22 kompaun bagi kesalahan tidak memvaksin anjing mereka. 

Sementara itu, DVS dengan kerjasama Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) berjaya memvaksinkan sebanyak 18 ekor anjing, manakala MPP telah mendaftarkan sebanyak 61 ekor anjing bagi operasi di kawasan Landeh. 

Jumlah tangkapan anjing liar yang dibuat oleh pihak MPP pula adalah sebanyak lapan ekor sahaja. -EDISI UKAS