Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan & PETRONAS Cawangan Sarawak Bekerjasama Sumbang Keperluan Kepada Mangsa Banjir

Disiarkan pada 01 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan dengan kerjasama PETRONAS Cawangan Sarawak terus memperkukuhkan komitmennya dalam misi membantu mangsa banjir di sini.

Sebanyak 800 bakul makanan telah disumbangkan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti air mineral, makanan, biskut dan pampers telah diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan hari ini.

Bantuan bakul makanan itu akan diagihkan kepada 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi keluarga yang terjejas di bahagian Samarahan iaitu PPS SK Endap, PPS Balairaya Kampung Nangka, PPS Dewan Kampung Entingan, PPS Dewan Sri Budaya Niup, PPS SK Sampun Tebun, PPS SK Haji Kelali Semera, PPS Dewan Warisan Sadong, PPS Dewan Haji Bujang Rangawan, PPS Dewan Masyarakat Kampung Lutong Sebangan, PPS Dewan Kampung Arus Melayu, PPS Dewan Pembangunan Daerah Sebuyau, PPS Dewan Mesra Simunjan dan PPS Dewan Masyarakat Gedong.

Simbolik penyerahan sumbangan bakul makanan itu telah disampaikan oleh Pengurus Besar PETRONAS Cawangan Sarawak Norazibah Md Rabu kepada Residen Bahagian Samarahan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang untuk disalurkan ke Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap daerah masing-masing.

Pengurus Besar PETRONAS Cawangan Sarawak Norazibah Md Rabu pula berharap sumbangan ini dapat bantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir di bahagian Samarahan serta memudahkan pihak agensi kerajaan yang terlibat dalam mengendalikan situasi ini.

Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Samarahan merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan Rais Ahmat, Pegawai Daerah Samarahan Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Gedong Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gedong Tamida Da'adi dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan Pengiran Mohamad Najib Pengiran Mohamad.-EDISI UKAS